Photobucket

Tuesday, 28 May 2013

Cerpan (Cerita Panjang): Tiada Sudah.

Dihening pagi yang nyama aku membuka jendela kayu rumahku dan menikmati aura angin pagi yang dingin membelai tubuhku setelah usai aku melaksanakan fardhu subuh. Aku terus berdiri dijendela membiarkan sinar mentari pagi menjamahku bersama berjuta kenangan lama yang terus menerus mengimbau di benak fikiranku. Memang nyaman dan adalah satu keuntungan menikmati permulaan hidup diawal hari dengan nikmat kesegaran pemberianNYA. Namun hatiku masih terasa kekurangan seperti ada sesuatu yang masih belum memuaskan hatiku. Kadang kala terasa amat membebankan jiwaku namun jika aku usahakan untuk membuang kegusaran jiwa ku ianya berjaya tetapi tidak kekal lama.

Kedengaran ibuku memanggil dari dapur menjemput untuk menjamah sarapan yang telah dia hidangkan. Setelah tiba didapur, aku melihat 2,3 jenis kuih dan mee goreng terhidang diatas meja makan. Aku terus makan menjamah makanan yang terhidang tetapi hanya sedikit sahaja yang aku makan. Ibuku bertanya mengapa aku menjamah hidangan yang dia hidangkan cuma sedikit sahaja, namun aku terus berlalu dan terus ke bilikku bersiap-siap untuk ke sekolah. Aku melihat uniform sekolahku sudah tersedia bergantung diampaian sejadah di dalam bilikku, baru aku teringat bahawa ibu yang menggosokkan bajuku. Yang sebenar, kebiasaannya aku yang menggosok bajuku sendiri dan ibu sudah melatih aku sejak dari darjah empat lagi. Kini aku sudah tingkatan tiga dan bakal mengambil PMR. Aku terus mengenakan pakaian sekolahku, sebelum beredar aku bersalam dengan ibuku lantas memberi salam dan aku berlalu untuk ke sekolah. Ianya rutin biasa yang aku lakukan setiap hari sebelum  ke sekolah.

Seperti biasa sudah kita tahu  bahawa tugas seorang ibu akan menjadi suri di dalam rumah dimana segala kerja mengurus hal ehwal rumah tangga menjadi tanggungjawabnya. Selapas sudah sesi persekolahan aku pulang ke rumah, seperti biasa aku akan menjengah ke dapur dahulu untuk melihat hidangan apa yang ibu ku sediakan sebelum aku menukar baju sekolahku. Hari ni terdapat sedikit kelainan kerana bila aku tiba di halaman rumah ibu tiada menanti aku di muka pintu namun aku tidak endahkan. Bila aku jengah kedapur aku lihat diatas meja makan kosong tiada apa-apa juadah untuk tengah hari ini. Aku tertanya-tanya kenapa perkara seperti ini berlaku lalu aku memanggil ibu namun tiada jawapan. Berulang kali aku memanggil dan akhirnya aku meninggikan sedikit suara memanggil ibu namun tetap sama. Aku merasa sedikit aneh kerana sekiranya ibu keluar takkan pintu rumah ditinggalkan tanpa dikunci, akhirnya aku mengambil keputusan ke bilik ibu. Tiba dibilik ibu aku melihat ibu sedang tidur, hati ku terasa sedikit panas lantas aku mengejutkan ibuku dan dia tersedar. Ibu menyatakan yang dia tidak berapa sihat, aku pun tidak bertanya banyak lalu keluar dari rumah menuj ke kedai makan untuk mengisi perut aku yang agak kebulur.

Keputusan PMR telah keluar, aku mendapat keputusan yang agak cemerlang bagi budak kampung seperti aku. Dari lapan mata pelajaran aku mendapat 6A dan 2B. Sudah tentu keputusan ini amat membanggakan aku serta keluargaku lagi-lagi ibuku. Ibu dan bapa ku menghantarku ke sekolah untuk mengetahui keputusan ku lebih awal. Ibu memelukku menzahirkan rasa gembiranya akan keputusan PMR aku yang agak cemerlang namun aku hanya membalas sekadar ala kadar dan kemudian aku menemui rakan-rakanku yang lain untuk bertanya tentang keputusan mereka. Agak lama ibu bapa ku menanti aku yang sedang leka berbual bersama kawan-kawan kemudian seorang kawan aku memberi cadangan untuk pergi meraikan kejayaan kami. Aku pergi mendapatkan kedua orang tuaku lantas memberitahu tentang rancangan kawan-kawanku kepada mereka. Ayah tidak berkata apa dan ibu pula hanya tersenyum kemudian memesan supaya aku pulang awal, aku hanya mendengar sahaja kemudian aku berlalu meninggalkan mereka.

Aku pulang agak lewat, kalau tidak silap aku sesudah maghrib aku pulang ke rumah. Sewaktu aku melewati dapur untuk ke bilik aku melihat banyak juadah makanan kegemaran aku. Kemudian ibu memanggilku untuk makan namun disebabkan badan aku terlalu letih aku menolak pelawaan ibu dan aku terus memasuki bilik untuk tidur bagi merehatkan lelahku setelah berseronok bersama kawan-kawan.

Pada satu hari, aku diserang demam denggi dan terpaksa ditahan di hospital untuk rawatan lanjut. Ibu lah insan yang sentiasa menemani aku disaat aku terlantar di hospital. Sewaktu ayah kerja, ibu akan meminta bantuan jiran untuk menjaga 3 orang adikku yang mana masih bersekolah. Ibu akan pulang sebentar untuk menyiapkan makanan untuk adik-adikku untuk juadah makan tengah hari dan malam untuk mereka dan ibu akan kembali ke hospital bersama makanan untuk aku. Aku merupakan anak kedua dalam keluargaku dan aku mempunyai seorang kakak tetapi dia sudah meninggal semasa berumur 8 tahun kerana asma. Setiap masa semasa aku terlantar di hospital dalam keadaan lemah ibulah insan yang banyak menguruskan diri aku. Bacaan surah Al-Quran dan Yassin tidak lekang dari bibirnya, aku lihat kesungguhan ibuku itu akan tetapi dalam keadaan aku yang tidak bermaya aku tidak terlalu memikirkan perkara tersebut.

Beberapa tahun kemudian aku telah berjaya melanjutkan pelajaran di universiti dan telah berjaya mendapatkan segulung ijazah. Ianya tidaklah mengambil masa terlalu lama kerana aku merupakan lepasan Matrikulasi maka masa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah tidaklah terlalu lama. Ibu tidak dapat bersama untuk berkongsi kegembiraan akan kejayaan aku kerana tidak sihat dan hanya adik-adikku yang datang sebagai wakil serta menyampaikan salam dari ibu dan ayah tetapi ianya bukanlah sesuatu yang besar untuk aku meraikannya kerana aku masih ditemani kekasih aku.

Kini aku sudah berkerja sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat elektronik besar dari Jepun yang bertapak di negara kita. Memang gaji yang ditawarkan sungguh lumayan akan tetapi kekangan masa untuk aku bersama keluarga agak sukar kerana aku sibuk dengan kerjaya aku. Sudah agak lama aku tidak pulang ke kampung dan hanya beberapa kali sahaja aku menghubungi keluargaku disana melalui talifon bimbit yang aku belikan kepada kedua org tuaku. Ayahku kini tidak lagi berkerja kerana sudah uzur manakala adik-adikku sudah melanjutkan pelajaran di menara gading dan seorang adikku dapat melanjutkan pelajaran di luar negara dengan bantuan biasiswa dari sebuah pertubuhan NGO. Namun aku sentiasa mengirimkan sejumlah wang yang cukup untuk perbelanjaan orang tua ku tiap-tiap bulan. Aku bercadang untuk menghantar kedua ibubapa ke mengerjakan ibadah haji, aku sudah mendaftarkan nama mereka di Tabung Haji dan hanya menunggu giliran.

Aku tersentak apabila isteriku menegur dari belakang, segala lamunanku di jendela berderai. Aku melihat anak ku yang ketiga terpisat-pisat matanya yang masih mamai kerana baru bangun tidur. Isteriku menjemput untuk bersarapan bersama ayahku di dapur. Aku sedang bercuti di kampung namun ibuku sudah lama pergi meninggalkan kami berjumpa yang Maha Esa. Ibu meninggal dunia 5 bulan sebelum aku melangsungkan perkahwinan bersama isteriku akibat sudah lama menderita sakit kanser hati dan aku hanya tahu setelah mendapat laporan dari doktor yang menguruskan jenazah ibu. Dalam tahun yang sama tiba giliran ibu dan ayah untuk ke Mekah namun bukan rezekinya. Kini tiada sudah lagi gelak tawa, senyuman, perhatian dan kasih sayang dari ibu. Tiada sudah~

kalau cerita ni kurang best bagilah pandangan dan cadangan, SEKIAN.


No comments:

Post a Comment